Friday, October 29, 2010

DUNIA : MAKSUD DARI SUDUT ZAHIR DAN BATIN

Bermula segala Kun itu zahirnya [mem]perdayakan; tiada hakikat baginya daripada sekira-kira zahirnya; dan batinnya ibarat kerana iaitu tempat memandang segala Haqaiq al-Haqaiq daripada Ghona' dan Baqa' bagi TuhanNya; dan Faqir dan Fana' bagi hamba.
  • Maka nafsu itu mengetahui ia kepada zahir[per]dayanya, maka suka bagi wujudnya dan duka bagi ketiadaannya;
  • dan hati itu menilik ia kepada batin ibaratnya, maka suka bagi ketiadaannya dan duka bagi wujudnya;
seperti segala hal orang-orang dahulu apabila datang dunia atas mereka itu maka kata mereka itu dosanya telah disegerakan akan balasnya, dan apabila jadi Faqir atas mereka itu, maka kata mereka itu sebaik-baik tanda orang yang sholeh.

Makna KUN di sini adalah merujuk kepada apa sahaja yang masuk di bawah "kejadian". Dunia dan segala isinya adalah KUN;

  • Harta, pangkat, kedudukan yang tinggi, anak-pinak, kemudahan dan apa sahaja yang dimiliki mereka hatta diri mereka sendiripun adalah juga masuk dalam KUN ini,
  • Alam barzakh, alam ghaib, syuga, neraka malah apa sahaja yang ajib-ajib serta nikmat-nikmat yang disediakan di alam sana adalah termasuk juga dalam makna KUN ini.
Pendek kata, apa sahaja asalkan ianya sesuatu "kejadian" maka pada satu pihaknya, kita katakan mereka sebagai KUN.

Bila ianya sesuatu yang berupa kejadian, maka sudah tentu sekali ada penzhohirannya. Tanpa penzhohiran, apakah ada lagi sesuatu yang lain yang boleh dijadikan tanda bagi wujudnya sesuatu kejadian itu??? Dengan itu sesuatu kejadian(KUN) itu mesti ada penzhohirannya. Bila dizhohirkan, maka ia dinamakan sebagai KUN. Ia zhohirnya dengan penuh keindahan dan rupa yang menarik sekali. Mata bisa terpukau pada kehebatan dan kecantikkannya. Telinga bisa terhibur dengan kelunakan suara-suara dan bunyian dalam KUN. Hati bisa terpikat dengan sesuatu yang manis, lazat dan menyelesakan.

  • Tengok orang bergaya dengan kereta mewah dan rumah besar, ahli dunia mana yang tidak terpikat.
  • Punya isteri cantik, anak-cucu yang berjaya, hati mana yang tidak senang
  • Punya pangkat tinggi, kedudukan dan kemuliaan, jiwa mana yang senang.
  • Dan selebihnya lagi;
    • Dapat Melihat menembusi alam ghaib, hati mana yang tidak seronok
    • Dapat bercakap, dan berhubung dengan makhluk-makhluk lain, sudah cukup untuk menyatakan kehebatan diri yang ada.
    • Dapat membuka perbendaharaan rahsia Allah, hingga tahu saat dan ketika sesuatu yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku, siapakah yang tidak kagum dengannya.
    Semuanya itu adalah KUN . Dan sememangnya KUN itu dizhohirkan dengan sesuatu yang memperdayakan. Ianya memperdayakan pandangan dan tilikan hati seseorang hamba dengan segala bentuk keindahan, kesenangan, keselesaan, keseronokkan dan kegembiraan dan kehebatannya.

    ingin saya tegaskan disini;
    hati itu menilik ia kepada batin ibaratnya, maka suka bagi ketiadaannya dan duka bagi wujudnya

    yang menunjukkan fitrah hatinya yang sentiasa sedar akan tipu daya zhohirnya sesuatu; malah sentiasa menghadapkan pandangnnya kepada hakikat di sebalik sesuatu penzhohiran KUN. Pada KUN, diambilnya iktibar, pengajaran, petunjuk yang boleh menetapkan pandangannya akepada Yang Ampunya Wujud. Dengan fitrahnya yang suci ini sudah tentu sekali,
    • Hati tidak suka pada keseronokkan jika ianya semata-mata keduniaan
    • Hati tidak suka pada kehebatannya yang semata-mata berbentuk keduniaan
    Sebaliknya,
    • hati itu amat suka apabila tiada apa-apa nikmat yang berbentuk keduniaan padanya;
    • Sukanya hati bila miskin tanpa harta kerana mudah terselamat dari tipu daya dalam mengambil dan menggunakannya;
    • Sukanya hati bila hina dan dhoif, kerana bisa terselamat dari tipu daya kemuliaan dan kekuasaan diri;
    • Sukanya hati ketiadaan keramat-keramat yang mencarik adat, kerana bisa terselamat daripada tipu daya "dakwa" pada hal atau maqam.
    Demikianlah rupanya keinginan dan kesukaan hati yang sentiasa ingin menjauhkan daripada sebarang habuan keduniaan. Hati yang selamat dan sejahtera daripada tipu daya sebagaimana yang menjadi perhiasan dan pakaian orang-orang Sholeh yang terdahulu.

    Sebagai rumusan, maka segala dunia dan keduniaan KUN itu adalah Zulamah kegelapan serta sesuatu yang melalaikan hamba daripada "jalan" yang hakiki. Sesungguhnya ditegaskan lagi sekali bahawa nafsu dan sesuatu yang lalai itu tidaklah pernah ia ingin, mahu dan "boleh" melihat hakikat sekali-sekali. Mereka termasuk dalam kejadian "Al-kun Wal-Fasad" tidak sebagaimana Qalbun atau Ruh yang dijadikan dari "urusan Ketuhanan".

    Dengan kerana itulah, apabila Qalbun melihat kepada sesuatu KUN atau Agyar, pandangan dan tilikannya tidak pernah berbeza dengan hakikat Wajibal Wujud(Ain Al-Haq). Dengan itu tidak dipandang sekali-kali melainkan Allah Jua Yang Maha Meliputi KewujudanNya.


    Monday, October 18, 2010

    IBADAT: MAKSUD SECARA AMALAN ZAHIR DAN IBADAT BATIN

    Lima kali sehari semalam, pada masa yang telah ditentukan, sembahyang diwajibkan kepada sekalian Muslim yang baligh dan berkuasa. Ini diperintahkan oleh Allah: "Kerjakan sembahyang dengan tetap dan akan sembahyang yang terlebih penting ". (Surah al-Baqaraah, ayat 238).

    Sembahyang menurut peraturan agama (rukun sembahyang) terdiri daripada berdiri, membaca Quran, rukuk, sujud, duduk, membaca dengan kedengaran beberapa doa. Pergerakan dan perbuatan ini melibatkan bahagian-bahagian tubuh, pembacaan diucap dan didengar melibatkan pancaindera dan deria, adalah sembahyang diri zahir. Kerana tindakan diri zahir ini dilakukan berulang-ulang, acapkali, di dalam setiap lima waktu sehari, bahagian pertama menurut perintah Allah "Dirikan sembahyang" , adalah lebih dari satu. Bahagian kedua perintah Allah "terutamanya sembahyang pertengahan" merujuk kepada sembahyang hati, kerana hati berada di tengah-tengah pada kejadian manusia. Tujuan sembahyang ini adalah mendapatkan kesejahteraan pada hati. Hati berada di tengah-tengah, antara kanan dengan kiri, antara hadapan dengan belakang, antara atas dengan bawah, antara kebaikan dnegan keburukan. Hati adalah pusat, titik pengimbang, penengah. Nabi s.a.w bersabda, "Hati anak Adam berada di antara dua jari Yang Maha Penyayang. Dia balikkan ke arah mana yang Dia kehendaki" . Dua jari Allah adalah sifat kekerasan-Nya yang berkuasa menghukum dan sifat keindahan-Nya dan pengasih-Nya yang memberi rahmat dan nikmat.

    Sembahyang sebenar adalah sembahyang hati. Jika hati lalai daripada sembahyang, sembahyang zahir tidak akan teratur. Bila ini terjadi kesejahteraan dan kedamaian diri zahir yang diharapkan diperolehi daripada sembahyang zahir itu tidak diperolehi. Sebab itu Nabi s.a.w bersabda, "Amalan sembahyang mungkin dengan hati yang diam".

    Sembahyang adalah penyerahan yang dicipta kepada Pencipta. Ia adalah pertemuan di antara hamba dengan Tuannya. Tempat pertemuan itu ialah hati. Jika hati tertutup, lalai dan mati, begitu juga maksud sembahyang itu, tidak ada kebaikan yang sampai kepada diri zahir daripada sembahyang yang demikian, kerana hati adalah intipati atau hakikat atau zat bagi jasad, semua yang lain bergantung kepadanya. Nabi s.a.w bersabda, " Ada sekeping daging di dalam tubuh manusia, jika ia baik maka baiklah semua anggota tetapi jika ia jahat maka jahat pula anggota. Ketahuilah, itulah hati".

    Sembahyang yang diperintahkan oleh agama (syariat) dilakukan pada waktu tertentu, lima kali sehari semalam. Sebaiknya dilakukan di dalam masjid secara berhemah, menghadap ka'abah, mengikut imam yang tidak munafik dan tidak ria'.

    Masa untuk bersembahyang batin tidak mengira masa dan tidak berkesudahan, bagi kehidupan ini dan juga akhirat. Masjid bagi sembahyang ini ialah hati. Jemaahnya ialah bakat-bakat kerohanian, yang mengingat dan mengucapkan nama-nama Allah Yang Esa di dalam bahasa alam batin. Imam sembahyang ini ialah kehendak yang tidak dapat disekat, arah kiblatnya ialah keesaan Allah, yang di mana-mana, dan keabadian-Nya dan keindahan-Nya. Hati yang sejati adalah yang boleh melakukan sembahyang yang demikian. Hati yang seperti ini tidak tidur dan tidak mati. Hati dan roh yang demikian berada di dalam sembahyang yang berterusan, dan manusia yang memiliki hati yang demikian, samada dia dalam jaga atau tidur, sentiasa berbuat kebaktian. Sembahyang batin yang dilakukan oleh hati adalah keseluruhan kehidupannya. Tiada lagi bunyi bacaan, berdiri, rukuk, sujud atau duduk. Pembimbingnya, imam sembahyang itu adalah Rasulullah s.a.w sendiri. Baginda berkata-kata dengan Allah Yang Maha Tinggi, "Engkau yang kami sembah dan Engkau jualah yang kami minta pertolongan". (Surah Fatihaah, ayat 4) . Ayat suci ini ditafsirkan sebagai tanda manusia sempurna, yang melewati atau melepasi dari menjadi kosong, hilang kepada segala kebendaan, kepada suasana keesaan. Hati yang sempurna demikian menerima rahmat yang besar daripada Ilahi. Satu daripada rahmat itu dinyatakan oleh Nabi s.a.w, " Nabi-nabi dan yang dikasihi Allah meneruskan ibadat mereka di dalam kubur seperti yang mereka lakukan di dalam rumah mereka ketika mereka hidup di dalam dunia". Dalam lain perkataan kehidupan abadi hati meneruskan penyerahan kepada Allah Yang Maha Tinggi.

    Bila sembahyang tubuh badan dan sembahyang diri batin berpadu, sembahyang itu lengkap, sempurna. Ganjarannya besar. Ia membawa seseorang secara kerohanian kepada kehampiran dengan Allah, dan secara zahir kepada peringkat yang paling tinggi mampu dicapai. Dalam alam kenyataan mereka menjadi hamba Allah yang taat. Suasana dalaman pula mereka adalah orang arif yang memperolehi makrifat sebenar tentang Allah. Jika sembahyang zahir tidak bersatu dengan sembahyang batin, ia adalah kekurangan. Ganjarannya hanyalah pada pangkat atau kedudukan, tidak membawa seseorang hampir dengan Allah.

    Sunday, October 17, 2010

    TABIR CAHAYA DAN KEGELAPAN

    Allah berfirman: “Sesiapa yang buta di dunia buta juga di akhirat”. (Surah Bani Israil, ayat 72).

    Bukan buta mata yang di kepala tetapi buta mata yang di hati yang menghalang seseorang daripada melihat cahaya hari akhirat. Firman Allah: “Bukan matanya yang buta tetapi hatinya yang di dalam dada”. (Surah Hajj, ayat 46).

    Hati menjadi buta disebabkan oleh kelalaian, yang membuat seseorang lupa kepada Allah dan lupa kepada kewajipan mereka, tujuan mereka, ikrar mereka dengan Allah, ketika mereka masih berada di dalam dunia. Sebab utama kelalaian adalah kejahilam terhadap hakikat (kebenaran) undang-undang dan peraturan Tuhan. Apa yang menyebabkan seseorang itu berterusan di dalam kejahilam ialah kegelapan yang menyeluruh menutupi seseorang dari luar dan sepenuhnya menguasai batinnya. Sebahagian daripada nilai-nilai itu yang mendatangkan kegelapan ialah sifat-sifat angkuh, sombong, megah, dengki, bakhil, dendam, bohong, mengumpat, fitnah dan lain-lain sifat keji. Sifat-sifat yang keji itulah yang merendahkan ciptaan Tuhan yang sangat baik sehingga jatuh kepada tahap yang paling rendah.

    Untuk membebaskan seseorang daripada kejahatan itu dia perlu menyucikan dan menyinarkan cermin hatinya. Penyucian ini dilakukan dengan mendapatkan pengetahuan, dengan beramal menurut pengetahuan itu, dengan usaha dan keberanian, melawan ego diri, menghapuskan yang banyak pada diri, mencapai keesaan. Perjuangan ini berterusan sehingga hati menjadi hidup dengan cahaya keesaan – dan dengan cahaya keesaan itu mata bagi hati yang suci akan melihat hakikat sifat-sifat Allah di sekeliling dan pada dirinya.

    Hanya selepas itu baharu kamu ingat akan kediaman kamu yang sebenar yang darinya kamu datang. Kemudian kamu akan ada rasa kerinduan dan keinginan untuk kembali kepada rumah kediaman yang sebenar, dengan pertolongan Yang Maha Mengasihani roh suci pada diri kamu akan menyatu dengan-Nya.

    Bila sifat-sifat kegelapan terangkat cahaya mengambil alih tempatnya dan orang yang memiliki mata rohani akan melihat. Dia mengenali apa yang dia lihat dengan cahaya nama-nama sifat Ilahiah. Kemudian dirinya dibanjiri oleh cahaya dan bertukar menjadi cahaya. Cahaya ini masih lagi hijab menutupi cahaya suci Zat, tetapi masanya akan sampai bila ini juga akan terangkat, yang tinggal hanya cahaya suci Zat itu sendiri.

    Hati mempunyai dua mata, satu yang sempat dan satu lagi yang luas. Dengan mata yang sempat seseorang boleh melihat kenyataan sifat-sifat dan nama-nama Allah. Penglihatan ini berterusan sepanjang perkembangan kerohaniannya. Mata yang luas melihat hanya kepada apa yang dijadikan kelihatan oleh cahaya keesaan dan yang esa. Hanya bila seseorang sampai kepada daerah kehampiran dengan Allah dia akan melihat, di dalam alam penghabisan bagi kenyataan Zat Allah, Yang Esa dan Mutlak.

    Bagi mencapai makam-makam ini ketika masih di dalam dunia, di dalam kehidupan ini kamu mestilah membersihkan diri kamu daripada sifat-sifat keduniaan, yang ego dan keegoan. Jarak yang kamu mengembara di dalam kenaikan kamu ke arah makam-makam tersebut bergantung kepada sejauh mana kamu mengasingkan diri daripada hawa nafsu yang rendah dan ego diri kamu.

    Pencapaian kamu kepada matlamat yang kamu inginkan bukanlah seperti barang kebendaan sampai ke tempat kebendaan. Ia juga bukan ilmu yang membawa seseorang kepada sesuatu yang menjadi diketahui (daripada tidak tahu), juga bukan pertimbangan yang memperolehi apa yang difikirkan, bukan juga khayalan yang menyatu dengan apa yang dikhayalkan. Matlamat yang kamu ingin capai ialah kesedaran tentang ketiadaan (kekosongan) kamu daripada segala sesuatu kecuali Zat Allah. Pencapaian ini adalah perubahan suasana yang terjadi, bukan perubahan pada sesuatu yang nyata. Di sana tiada jarak, tiada dekat atau jauh, tiada kesampaian, tiada ukuran, tiada arah, tiada ruang.

    Dia Maha Besar, segala puji untuk-Nya. Dia Maha Pengampun. Dia menjadi nyata dalam apa yang Dia sembunyikan daripada kamu. Dia menyatakan Diri-Nya sebagaimana Dia melabuhkan tirai di antara Dia dengan kamu. Pengenalan tentang Diri-Nya tersembunyi di dalam ketidakupayaan mengenali-Nya.

    Jika ada di antara kamu yang sampai kepada cahaya yang diterangkan dalam buku ini ketika kamu masih lagi berada di dalam dunia, buatlah muhasabah (hisab) terhadap diri kamu, buku catatan kamu tentang amalan kamu. Hanya di bawah cahaya kamu boleh melihat apa yang kamu sudah buat dan sedang buat; buat kiraan kamu, seimbangkannya. Kamu akan membaca buku catatan kamu di hadapan Tuhan kamu pada hari pembalasan. Itu adalah muktamad. Kamu tidak ada peluang mengimbanginya di sana . Jika kamu lakukan di sini ketika kamu masih ada masa, kamu akan termasuk ke dalam golongan yang diselamatkan. Jika tidak azab dan seksa menjadi bahagian kamu di akhirat. Hidup ini akan berakhir. Di sana ada azab di dalam kubur, ada hari pembalasan, ada neraka yang menimbang sehingga kepada dosa yang paling kecil dan kebaikan yang paling kecil. Kemudian ada jambatan yang lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang, penghujungnya ialah taman, sementara di bawahnya ialah neraka yang penuh dengan kecelakaan, penderitaan, semuanya adalah berkekalan apabila kehidupan yang singkat ini berakhir.

    Akhir kata, renungkanlah kata-kata ini:

    Lawan untuk hidup
    Hidup mesti lawan
    Hingga ego mu kau kalahkan.

    Sekian dari saya. Assalamualaikum...........